Setiap perkara yang kita mahu, yang kita idamkan, setiap kemahuan, impian dan cita-cita, diusahakan untuk mencapainya, tidak semuanya akan berjaya kita dapat. betul tak? kalau semua boleh dapat kita tidak akan bergantung pada Allah. Bersabar dan terima dengan penuh redha dan rela. Kerana Allah yang lebih mengetahui ke atas setiap sesuatu yang terbaik untuk hamba2Nya.
Semuanya tertakluk kepada sukatan dan ketentuan Allah. Suatu kegagalan mungkin dilihat negatif oleh manusia namun di sebalik itu tersimpan berbagai hikmah yang hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Terlalu banyak hikmah, iktibar, didikan dan pengajaran Allah di sebalik kegagalan itu. Bersyukurlah kerana Allah menyimpan berbagai kebaikan di sisi-Nya. Jangan lah kita berburuk sangka terhadap Allah.
Mudah-mudahan dengan kegagalan itu akan kekal rasa dan sifat kehambaan, menjadi penghapusan dosa kalau pun tidak sampai meningkatkan darjat. Ini lah hakikat tawakal, menyerah dan pasrah dengan segala apa yang telah Allah takdirkan setelah kita berusaha, berikhtiar dan berdoa. Apabila ia di iringi rasa tawakkal kepada Allah, kita akan jadi hamba yang redha atas apa juga yang terjadi.
Sering juga terjadi perkara yang kita cita-cita, yang kita idamkan dan diusahakan untuk mendapatkannya, namun tersasar dari keinginan asal. Dalam situasi begini, perasaan yang wajar ialah terimalah hakikat bahawa kita manusia ciptaan Allah ini tidak memiliki kuasa mutlak. Yang memiliki kuasa mutlak ialah Allah. Lantaran itulah tidak semua dicapai menurut kehendak dan usaha kita. Segala usaha itu tidak lebih dari menghadirkan sebab yang disyariatkan oleh Allah. Itu pun dengan maksud supaya manusia mendapat pahala dari usaha tersebut.
Yakinlah tiada yang sia-sia dari setiap yang Allah anugerahkan serta yakinlah bahawa itulah yang terbaik untuk kita, Cuma kita tidak mengetahui dan memahaminya. Setiap sesuatu adalah di bawah takluk dan pentadbiran Allah. Di situ kita mendapat pengajaran bahawa kalau kita ada kuasa, tentulah kita akan memperolehi apa yang kita mahukan. Manusia paling berkuasa tetap tidak terlepas dari mengantuk, sakit, bencana alam, dikutuk dan dihina orang, tua, uzur dan mati. Apabila mati, manusia lain yang menguruskannya untuk disemadikan di dalam tanah. Selepas itu tidak upaya pula untuk menempuh Padang Mahsyar, Hari Hisab dan akhirnya ke Syurga atau ke Neraka.
No comments:
Post a Comment